Selasa, 16 November 2010

Episod Hadiah Istimewa





Seorang pelajar kaya telah pergi ke kedai haiwan kerana ingin membeli seekor burung kakak tua untuk dihadiahkan kepada ibunya sempena Hari Ibu.

“Saya sedang mencari seekor burung kakak tua yang bijak.” Kata pelajar tersebut.

“Kami ada menjual beberapa ekor burung yang sangat bijak. Adik boleh pilih je yang mana adik suka.” Peniaga kedai haiwan itu memberitahu..

Pelajar itu ternampak seekor burung kakak tua yang sangat cantik dengan harga RM2000 lalu bertanya: “kenapa burung ni mahal sangat?”

“Burung ni mahal kerana ia boleh bercakap dalam tiga bahasa dik.” Jawab si peniaga..

“oooo..”

Kemudian, pelajar itu melihat burung yang kedua tapi kali ini harganya lebih mahal iaitu RM4000.

“Kenapa pula burung ni harganya mahal daripada burung pertama tadi”

Peniaga itu menerangkan, “Yang ini lebih mahal kerana bukan sahaja boleh bercakap dalam lima bahasa, ia juga boleh menyanyi dan mengira.”

“oooo…”

Apabila melihat burung yang ketiga, pelajar itu terus tergamam kerana melihat harganya RM10000!!!

“Kalau yang pertama boleh bercakap dalam tiga bahasa, dan yang kedua pula boleh bercakap dalam lima bahasa, menyanyi dan mengira, yang ketiga ni boleh buat apa bang?”

“Terus terang saya katakan dik, sebenarnya saya pun tak tahu dan tak pernah tengok burung ini buat apa-apa kecuali diam saja.”

“Kalau begitu, kenapa harganya mahal sangat?”

“Macam manalah tak mahal dik. Burung kakak tua yang pertama dan yang kedua tadi panggil dia BOSS!!!”

Kesimpulan

Daripada kisah tersebut, dapatlah kita mengambil sedikit pengajaran yang bermanfaat. Dengan kelebihan yang ada pada gelaran yang hebat, manusia sering terpukau untuk mendapatkannya. Banyaklah puji-pujian yang dihamburkan dengan kehebatan itu sehingga merasa bangga dan memperkecilkan orang lain.

Bukanlah tujuan kita untuk mendapatkan kehormatan yang tinggi di kalangan manusia. Namun yang penting
adalah pandangan di sisi Allah S.W.T dengan amalan dan hati yang bersih beribadah kepadaNya. Inilah penilaian yang sebenar di sisi Allah S.W.T.

Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak melihat wajah atau harta (amwal) kamu tetapi Dia melihat hati dan amalan kamu" (Hadith riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a, Sahih Muslim Jil. IV, kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, hadith no. 6221)

"Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta benda tetapi kekayaan yang sebenar adalah kaya hati" (Hadith riwayat Imam Ibn Majah daripada Abu Hurairah r.a, Sunan Ibn Majah Jil. IV, Kitabb al-Zuhd, bab al-qana'ah, hadith no. 4137)

Sumber: Koleksi Kisah Ceria Pengasih Akhlak Mulia, Ghafarullahhuddin Hj Din (Prof. Madya di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Shah Alam).